Thursday, December 6, 2012

Strategi Jual Pakaian di Lelong & eBay





Sekiranya anda perhatikan jenis barangan jualan di portal eBay dan Lelong, pakaian adalah antara barangan yang laris jualannya. Ini termasuklah pakaian wanita, lelaki, sukan, kanak-kanak dan sebagainya. Mungkin anda berkesempatan untuk menggunakan strategi ini untuk menjana wang tambahan.

Pilihan jenis pakaian

Pertama sekali, anda perlu faham bahawa anda mempunyai pilihan jenis pakaian sama ada pakaian baru ataupun pakaian terpakai untuk dijual. Kedua-dua jenis pakaian ini mempunyai golongan peminat yang tersendiri.

Seterusnya, anda juga mempunyai pilihan untuk memfokuskan perniagaan pakaian anda kepada niche tertentu, seperti pakaian mewah atau eksklusif, atau pakaian dewasa, pakaian Muslimah, pakaian bayi, pakaian sukan dan sebagainya. Sekiranya anda ingin, anda boleh fokus kepada niche yang lebih kecil seperti tudung Muslimah sahaja, atau jersi bolasepak sahaja.

Mencari pembekal pakaian

Sebelum memulakan perniagaan pakaian, anda perlu mengenalpasti pembekal pakaian yang sesuai untuk anda. Terdapat sekurang-kurangnya 3 sumber untuk anda mendapatkan pakaian untuk tujuan jualan semula:

1. Pakaian milik anda atau ahli keluarga anda

Sudah tentu terdapat pakaian terpakai di dalam almari di rumah anda yang masih elok tetapi anda sudah tidak gunakan lagi. Pilihan ini paling menjimatkan kos kerana anda tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan semata-mata untuk mendapatkan barangan jualan, kerana pakaian tersebut memang sedia milik anda atau ahli keluarga anda.

2. Pemborong pakaian

Anda mungkin tinggal di kawasan yang berhampiran dengan pemborong pakaian, sama ada mereka membuat dan mengeluarkan pakaian di tempat tersebut ataupun mereka sendiri mendapatkan pakaian dari tempat lain bagi tujuan jualan semula. Anda boleh menggunakan peluang ini untuk berunding mendapatkan harga borong untuk pakaian yang anda ingin pasarkan di kedai online anda di portal eBay dan Lelong.

3. Kaedah dropship

Anda pernah mendengar perniagaan dropship? Perniagaan dropship ialah sejenis perniagaan di mana anda dilantik sebagai ejen pembekal untuk memasarkan barangan mereka tanpa perlu menyimpan stok atau mengeluarkan kos permulaan mendapatkan barangan tersebut. Apabila anda berjaya mendapatkan pelanggan dan pelanggan tersebut membuat pembayaran kepada anda, barulah anda memesan barangan yang dibeli oleh pelanggan tadi daripada pembekal, membuat bayaran kepada pembekal, dan di sini, pembekal yang akan membuat pembungkusan dan penghantaran di atas nama anda sebagai penjual. Sebarang berbezaan antara harga yang dibayar oleh pelanggan kepada anda, dan harga yang dibayar oleh anda kepada pembekal, adalah dianggap keuntungan anda.

Menetapkan harga jualan
Setelah anda mengenalpasti sumber untuk mendapatkan pakaian untuk dijual, perkara seterusnya yang anda perlu lakukan ialah menetapkan harga jualan bagi pakaian tersebut. Terdapat beberapa teknik untuk menetapkan harga jualan pakaian, namun 3 teknik yang paling disarankan ialah:

1. Harga jualan ialah harga kos mendapatkan pakaian tersebut ditambah dengan keuntungan yang anda inginkan daripada urusniaga tersebut. Ini adalah berdasarkan formula:

Harga jualan = Harga kos + Keuntungan


2. Harga jualan ditetapkan dengan mengkaji permintaan pelanggan berdasarkan penjenamaan, iaitu apakah nilai yang sanggup dibayar oleh pelanggan bagi mendapatkan pakaian tersebut. Teknik ini boleh diaplikasikan untuk barangan berjenama, ataupun barangan terpakai yang masih elok dan boleh digunakan.

3. Harga jualan ditentukan oleh nilai sentimental pakaian tersebut, sebagai contoh anda mempunyai jersi bola sepak yang telah ditandatangani oleh pemain bola sepak profesional bertaraf antarabangsa, anda mungkin boleh mendapatkan harga yang tinggi bagi pakaian tersebut kerana ia mempunyai nilai sentimental yang agak tinggi.

Teknik jualan terbaik

Langkah seterusnya ialah untuk menyenaraikan pakaian tersebut untuk dijual di portal eBay dan Lelong. Berikut disertakan beberapa tips mudah untuk anda aplikasikan:

1. Gunakan gambar yg jelas – elakkan daripada mengambil gambar dari internet. Sebagai tambahan, sebaiknya gambar pakaian tersebut dipakai oleh seseorang individu dan tidak dihamparkan di tempat yang rata seperti di atas lantai atau cuma digantung di tepi dinding dengan penyangkut baju.

2. Nyatakan semua maklumat penting di dalam posting anda. Oleh kerana urusniaga eBay dan Lelong berasaskan online, anda perlu memberikan maklumat terperinci kepada prospek pelanggan anda untuk mereka menilai untuk membeli atau sebaliknya.

3. Nyatakan sebarang kecacatan atau kerosakan pakaian tersebut, seperti zip rosak, atau terdapat sebarang koyak.

4. Berikan maklumat penjagaan pakaian tersebut, sebagai contoh cucian tangan sahaja, tidak boleh diseterika dan sebagainya.

5. Berikan saiz. Bagi tujuan ini, sebaiknya anda mendapatkan pita ukur dari kedai berhampiran untuk mengukur sendiri saiz pakaian tersebut.

6. Dalam memutuskan sama ada untuk memaparkan posting anda melalui fungsi Buy it now atau Auction, maka disarankan anda menilai berdasarkan kepada permintaan pelanggan. Sekiranya permintaan tinggi, maka anda boleh mempertimbangkan untuk Auction.




Sumber

No comments:

Post a Comment